PUTRAJAYA, 15 Feb – Tidak Terpedaya……. Umat Islam diingatkan supaya tidak terpedaya dengan individu atau pertubuhan yang menawarkan pakej khidmat valet doa di Makkah dengan harga tertentu, seperti yang viral di media sosial ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha, berkata pakej valet doa berkenaan jelas menunjukkan unsur perniagaan dan menjaja serta menggunakan ibadat serta doa untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan Islam.

Othman berkata, doa adalah permohonan daripada seorang hamba yang meminta pertolongan Allah dan Islam menggalakkan umatnya untuk berdoa di mana saja, dan perlu menepati syarat dan adab agar ia dimakbulkan seperti yang dinyatakan para ulama.

“Justeru, adalah sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersial kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian agama Islam.

“Hak termakbulnya doa adalah milik Allah semata-semata, bukan terletak kepada manusia. Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah.

“Justeru, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai valet doa yang ditawarkan pihak tertentu di media sosial, yang menawarkan pakej berdoa di tanah suci bagi mereka yang mahukannya, dengan harga sehingga RM2,500. – WD MY