KUALA LUMPUR….. KENDERAAN….. Syarikat pengeluar kenderaan VOLVO Cars Malaysia memperkenalkan model sedan tambahan bagi siri 90 menerusi Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription versi pemasangan tempatan (CKD).

Dibuka untuk tempahan sejak dua bulan lalu, model hibrid plug-in ini didatangkan dalam dua varian, Inscription dan Inscription Plus.

Kedua-dua varian ini masing-masing ditawarkan pada harga tidak termasuk insurans RM368,888 dan RM388,888.

Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription didatangkan dengan enjin 2.0 liter Drive-E empat silinder menerusi dua pilihan pengecas super dan pengecas turbo.

Dengan penjana kuasa yang dimiliki, ia mampu menghambur 320 kuasa kuda (hp) pada 5,700 rpm dan tork 400 Nm dari 2,200 rpm hingga 5,400 rpm.

Kuasa ini disampaikan melalui sistem transmisi automatik lapan kelajuan daripada Aisin.

Terima sumber kuasa elektrik

Selain enjin, satu lagi sumber janaan kuasanya adalah menerusi motor elektrik yang terletak pada bahagian gandar belakang.

Kuasa elektrik ini mampu menghasilkan sebanyak 87 hp dan 240 Nm untuk roda belakang.

Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription menggunakan bateri lithium-ion 10.4 kWh dengan caj penuh membolehkan kereta ini bergerak sejauh 50 kilometer dalam mod elektrik.

Model terkini Volvo Cars Malaysia mampu memecut 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa hanya 4.8 saat, manakala kelajuan maksimum adalah 250 km/j.

Varian Inscription Plus pula tampil dengan ciri unik khusus iaitu penggunaan suspensi udara dengan penyerap hentak kawalan elektronik di bahagian belakang.

Penyerap hentak berkenaan akan menentukan kedudukan kereta tanpa mengambil kira beban yang ada dan menyesuaikannya kepada keadaan jalan dan cara pemanduan semasa.

Sistem keselamatan termaju

Semua ini disambungkan kepada amplifier 12-saluran, 1,400 watt Class D dengan tiga preset utama – Studio, Stage dan Concert Hall. Menurut Volvo, aspek akustik kabinnya ditala secara khusus untuk mendapatkan pengalaman bunyi seperti di Gotenburg Symphony Orchestra.

Penampilan luasan bagi kedua-dua varian ini seakan sama dengan ia dilengkapi lampu utama LED dengan ciri Active Bending Lights, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, rim 19-inci 10 jejari (rekaan sama pada XC90) dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 255/40.

Ruang dalaman pula menempatkan kluster peralatan digital dengan paparan 12.3 inci, paparan heads-up, skrin sentuh 9-inci bagi unit utama (head unit) yang lengkap dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto dengan ciri Bluetooth serta stereng balutan kulit dengan kawalan pelbagai fungsi.

Dari segi keselamatan, Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription ini lengkap dengan pakej Volvo Intellisafe termasuk ciri seperti adaptive cruise control dengan tinjauan jarak, city safety dengan brek automatik sepenuhnya, pengesanan pintar terhadap pengayuh basikal, pejalan kaki dan haiwan besar, sistem amaran perlanggaran, Park Assist dengan kamera 360 darjah serta Pilot Assist tahap kedua.

Info:
Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription

* Harga tanpa insurans

– Varian Inscription RM368,888

– Varian Inscription Plus RM388,888

* Enjin 2.0 liter Drive-E empat silinder

* 320 hp @ 5,700 rpm dan tork 400 Nm dari 2,200 rpm hingga 5,400 rpm

* Diiktiraf sebagai kenderaan EEV

* Jaminan lima tahun, tanpa had perbatuan serta lima tahun bagi bantuan jalanan Volvo On Call