CAMERON HIGHLANDS, JAN 25: WAJIB UNDI….Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pengundi Islam wajib menyokong calon BN di pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan berlangsung kurang 24 jam dari sekarang.

“Kita minta supaya pengundi-pengundi khususnya bagi penganut agama Islam, wajib mereka menyokong calon yang ada sifat keagamaan, calon yang memegang tiket BN, yang kita kenal.

“Dimaklumkan dia seorang pegawai polis yang tak pernah melakukan apa-apa salah laku, semasa khidmat dia jadi anggota polis,” katanya.

Saranan itu disuarakan Abdul Hadi selepas menyampaikan kuliah di Rusila hari ini.

Tambah Hadi, umat Islam tidak sepatutnya memilih calon DAP yang menurutnya menunjukkan tanda-tanda negatif yang tak dapat disembunyikan terhadap Islam.

Kata Hadi, DAP merupakan oportunis untuk mendapat kuasa politik tanpa mengambil kira kedudukan Islam sebagai agama persekutuan serta hak mengamalkan agama lain seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

“Kita minta supaya kaum yang bukan Islam kalau mahu selamat, jangan undi DAP.

“Undi calon Islam ini, semua selamat. Orang Islam selamat, orang bukan Islam pun selamat,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut tentang calon BN yang merupakan pesara polis, Ramli Mohd Nor, Hadi menjelaskan pemilihan beliau bukan sahaja telah dipersetujui oleh komponen BN, malah telah mendapat restu PAS.

Katanya, keputusan untuk meletakkan Ramli bertanding di bawah BN pula diambil dengan mengambil kira undi BN yang terbesar dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Dia (Ramli) dipujuk supaya bertanding, bukan dia minta jadi calon.

“Dan mendapat persetujuan daripada bukan saja Umno, MIC, (tetapi juga) termasuk PAS,” kata Abdul Hadi lagi.

PRK Cameron Highlands adalah PRK kelima diadakan selepas PRU14 dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept); serta Parlimen Port Dickson (13 Okt).

PRK ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Ramli dan calon Pakatan Harapan M Manogaran, selain dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee

Jumlah pengundi yang layak mengundi esok hari ialah seramai 31,639 orang.-MY WD