KUALA LUMPUR, DISEMBER 6: KELUAR DEWAN….Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bertindak keluar dari sidang Parlimen kerana membantah keputusan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang memutuskan bahawa anggota Parlimen Cameron Highlands, C.Sivarraajh tidak dibenarkan berada di dalam persidangan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ahli Parlimen BN memohon agar Speaker menarik kembali keputusan tersebut sekaligus mengakui telah tersalah membuat keputusan. 

“Kita ingin merujuk kepada keputusan yang dibuat oleh Speaker di mana beliau akan hanya membuat keputusan sama ada Ahli Parlimen Cameron Highlands patut berada dalam Dewan dalam tempoh 14 hari atau sesuatu keputusan yang lain setelah penelitian dokumen-dokumen dilakukan.

“Oleh yang demikian, kita lihat bahawa di dalam Perkara 36a(2) menyebutkan bahawa hakim pilihan raya hanya akan mengambil sesuatu keputusan secara muktamad jika tiada sebarang rayuan difailkan dalam masa 14 hari.

“Dalam hal ini Ahli Parlimen BN protes kerana seorang anggotanya yang telah diisytihar melakukan kesalahan pilihan raya berhak untuk berada dalam Parlimen sehingga mana tempoh rayuan 14 hari telah tamat dan jika notis rayuan telah difailkan maka Camaron Highlands masih layak untuk berada dalam persidangan Parlimen sehingga Mahkamah Persekutuan buat keputusan,” ujar beliau dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, perkara tersebut sebenarnya cukup jelas dan tindakan Speaker yang mahukan laporan secara bertulis tidak sesuai memandangkan ia memakan masa sedangkan tempoh yang diberi hanyalah 14 hari.

“Jadi kita tuntut keputusan yang dibuat ditarik balik dan akuilah itu kesilapan dan kita akan maafkan.

“Saya berharap Speaker akan berlaku adil kepada kedua-dua pihak dan kita juga tidak menegakkan benang yang basah kerana telah merujuk kepada Akta Pilihan Raya,” tambah beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.-MY WD