NEW YORK, 18 JULAI – MEROSOT…. Indeks saham Amerika Syarikat (AS) merosot apabila keputusan lemah daripada CSX Corp menimbulkan kebimbangan bahawa perang perdagangan yang berlarutan antara AS dan China boleh memberi kesan negatif kepada pendapatan korporat.

Saham CSX jatuh 10.3 peratus, kejatuhan harian terbesar sejak 2008, selepas syarikat pengangkutan kereta api itu mencatatkan keuntungan suku tahunan yang rendah daripada jangkaan dan merendahkan unjuran pendapatan untuk setahun penuh.

Ketegangan perdagangan yang berterusan menyumbang kepada penurunan dalam jumlah pengangkutan barangan menggunakan trak dan kereta api pada separuh pertama 2019.

CSX adalah antara kaunter yang menyumbang kepada penurunan terbesar pada indeks S&P 500, bersama-sama Union Pacific Corp dan Berkshire Hathaway Inc, yang memiliki BNSF Railway.

Union Pacific, yang sahamnya turun 6.1 peratus, akan melaporkan keputusan kewangan pada Khamis.

Dow Jones Industrial Average turun 115.78 mata atau 0.42 peratus kepada 27,219.85.

S&P 500 turun 19.62 mata atau 0.65 peratus kepada 2,984.42.

Nasdaq Composite turun 37.59 mata atau 0.46 peratus kepada 8,185.21.

Sejumlah 6.1 bilion saham bertukar tangan berbanding 6.66 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. – WD MY