TASEK GELUGOR, 7 JULAI – BERSATU….. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan menjadi seperti UMNO, walaupun menerima kemasukan ahli daripada mana-mana parti Melayu lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia kerana penubuhan BERSATU jelas berbeza dengan UMNO, walaupun diasaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga bekas Presiden UMNO.

“BERSATU tidak sama dengan UMNO, sebab apa? BERSATU ditubuhkan sendiri berbeza daripada UMNO, (maka) asas itu sudah lain. Dia (Dr Mahathir) sebagai (bekas) Presiden pun tinggalkan UMNO dan tubuhkan BERSATU.

“Beliau meminta parti politik Melayu lain menyertai BERSATU kerana partinya juga berasaskan kaum berkenaan. Mana-mana parti politik semestinya mahu ahli yang ramai dan ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan kedudukan parti mereka.

“Bagaimanapun, saya rasa PAS dan UMNO sudah memberi indikasi bahawa mereka tidak berminat (dengan pelawaan Dr Mahathir untuk menyertai BERSATU),” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu, termasuk UMNO untuk menyertai BERSATU bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu, selain menyifatkan penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti. – WD MY