PUTRAJAYA, 30 APRIL – BUAT….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam tadi meraikan Pengerusi Yayasan Qatar bagi Pembangunan Pendidikan, Sains dan Komuniti (QF) dan Pendidikan Yang Penting (EAA), Sheikha Moza Nasser dengan menjemputnya ke jamuan makan malam di rumah kediaman rasminya di Sri Satria, di sini.

Sheikha Moza ialah permaisuri kepada Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, bekas Emir Qatar

Dr Wan Azizah bangga menyambut kedatangan tetamu istimewanya dengan memasak sendiri kuih bingka ubi kayu untuk Sheikha Moza di dapur kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri ini.

Ketika ditemui sebelum Sheikha Moza tiba, Dr Wan Azizah berkata, beliau memilih memasak kuih Melayu kerana mudah untuk disediakan.

“Saya mula memasak bingka ubi kayu ini pukul 6.30 petang. Ia senang, hanya perlu ubi kayu, santan kelapa, gula dan sedikit garam.

“Saya biasa masak ini ketika di luar negara. Saya pernah masak kuih ini semasa di New York dahulu,” katanya.

Selepas menyediakan kuih itu, Dr Wan Azizah menyambut Sheikha Moza setibanya di Sri Satria kira-kira pukul 8.15 malam.

Sebaik tiba, Sheikha Moza menandatangani buku tetamu dan kemudian menyaksikan tarian joget selamat datang oleh kanak-kanak Genius dulunya dikenali sebagai Permata.

Turut hadir pada jamuan itu ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sheikha Moza tiba di sini Ahad lalu, adalah dalam lawatan khas empat hari ke Malaysia dari 28 April hingga 1 Mei.

Sheikha Moza dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri.

Menurut satu kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar pada Ahad, lawatan khas itu akan menyediakan peluang bagi kedua-dua pihak untuk membincangkan lagi pelbagai isu kepentingan bersama terutama mengenai pendidikan, kesihatan, penguasaan wanita, pembangunan belia dan komuniti.

EAA, yang diasaskan pada 2012 oleh Sheikha Moza bertujuan untuk membina satu pergerakan global yang menyumbang kepada pembangunan kemanusiaan, sosial dan ekonomi menerusi penyediaan pendidikan berkualiti, manakala QF adalah pertubuhan tidak mengaut keuntungan yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan, penyelidikan dan komuniti sejak 1995. – WD MY