SHAH ALAM, 9 Julai – SEBABKAN…. Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dihukum penjara setahun bermula hari ini selepas Mahkamah Tinggi di sini, menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman berkenaan kepada setahun penjara terhadap Wan Ji selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.

Ketika membacakan ringkasan penghakiman Abdul Halim berkata, kata-kata yang dinyatakan tertuduh adalah terang lagi bersuluh.

“Penerbitan kata-kata itu adalah satu penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Apa yang diterbitkan daripada penerbitan itu bukan sahaja sesuatu yang menghasut, malah ia cuba menanam sifat kebencian rakyat terhadap institusi raja.

“Ini adalah satu tindakan yang melampaui batas, kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja.

“Walaupun sebagai warganegara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan ia masih tertakluk kepada undang-undang dan normal kehidupan. Jangan kita lupa satu lagi prinsip Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

Wan Ji, didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, pada 10 pagi, 5 November 2012.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Radzlan Jalaludin dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Terdahulu, Mohd Radzlan memohon supaya hukuman terbabit ditangguhkan sementara pihaknya mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Abdul Halim bagaimanapun memerintahkan peguam memfailkan permohonan terbabit secara rasmi. – WD MY