SHAH ALAM, 7 Jan – LANTIK…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mana-mana pemimpin parti politik yang mendapat sokongan majoriti, layak untuk jawatan utama itu.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan sesiapa saja yang layak boleh dilantik sebagai perdana menteri, termasuk wanita.

“Siapa saja boleh. Dalam Perlembagaan Malaysia kata siapa saja boleh. Siapa saja ketua parti yang memperolehi sokongan majoriti akan jadi.

“Tentunya saya tidak berada dalam satu keadaan untuk menterjemahkan isu gender, tetapi kita harus yakin bahawa apa yang dilakukan kerajaan sekarang lebih baik daripada janji yang dilontarkan.

“Termasuk berhajat untuk mengecat langit dan dalam keadaan ini, kita jangan hanya melihat bintang di langit, tetapi kita juga harus lihat rumput di bumi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa pakatan itu bersedia meletakkan wanita sebagai calon untuk jawatan perdana menteri. – WD MY