BUKIT MERTAJAM, 23 JUN – SERANG Seorang janda yang mengalami masalah mental mengamuk dan menyerang anggota polis menggunakan tiga bilah pisau ketika hendak ditahan dalam kejadian di Taman Impian semalam.

Dalam kejadian pada jam 5 petang, suspek berusia 51 tahun itu bertindak demikian apabila menyedari kehadiran polis ke rumahnya untuk membawa wanita itu ke hospital sakit jiwa selepas mendapat laporan dia membahayakan nyawa ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata polis menerima laporan mengenai keadaan suspek melalui anak saudaranya yang memaklumkan wanita terbabit bertindak menyimbah asid ke arah keretanya.

“Bagaimanapun, asid itu tidak terkena pada mangsa dan akibat berada dalam ketakutan anak saudaranya melaporkan kejadian terbabit kepada pihak polis.

“Anggota polis yang sedang membuat rondaan diarahkan ke lokasi kejadian dan ketika mahu memujuk suspek, tiba-tiba anggota dikejutkan dengan tindakan suspek yang melemparkan tiga bilah pisau sebelum melarikan diri menaiki kereta.

“Ketika mahu melarikan diri, kereta dinaiki suspek melanggar motosikal anggota polis yang ada di situ serta pagar rumahnya. Polis bagaimanapun terpaksa melepaskan satu das tembakan dan terkena pada tayar belakang kereta bagi memberhentikan tindakan suspek,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, kenderaan suspek kemudian berhenti apabila dia terlanggar sebuah kereta jenis utiliti sukan yang melalui kawasan itu.

“Anggota polis kemudian terus bergegas untuk menahan suspek namun wanita terbabit sekali lagi mahu menyerang dengan bertindak menyimbah asid. Bagaimanapun, tindakannya tak berhasil dan anggota polis berjaya membuat tangkapan.

“Anak saudara suspek turut memaklumkan yang ibu saudaranya mempunyai seorang anak mengalami masalah mental sejak setahun lalu dan pernah menerima rawatan di Hospital Sakit Jiwa dekat Jalan Perak.

“Mangsa membuat laporan polis kerana mahu ibu saudaranya dibawa ke hospital sakit jiwa berikutan suspek bertindak agresif dan membahayakan ahli keluarga lain,” katanya. – WD MY