WASHINGTON, 7 Jun – MUNCUL….. Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump membuat kemunculan pertamanya di khalayak ramai hari ini selepas hampir sebulan berehat.

Beliau yang mengiringi suami, Presiden Donald Trump ketika melawat Ibu Pejabat Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan kelihatan sihat, walau baru menjalani pembedahan baru-baru ini.

Melania dirawat di hospital Walter Reed pada 14 Mei lalu untuk membuang ketumbuhan pada buah pinggangnya dan dibenarkan keluar pada 19 Mei.

Beliau tidak kelihatan di khalayak ramai sejak 10 Mei, ketika mengiringi presiden ke Pangkalan Angkatan Udara Andrews di Maryland untuk menyambut kepulangan tiga tebusan Amerika dari Korea Utara.

Sepanjang ketiadaannya, pelbagai spekulasi liar disebarkan termasuk pembedahan yang hampir meragut nyawa, pembedahan plastik dan meninggalkan Rumah Putih dan Trump untuk ke New York atau Virginia. – WD MY