KUALA LUMPUR, 20 JULAI – SEPAKAT…. Seramai 13 ketua wanita PKR negeri hari ini sepakat menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap dalang konspirasi menerbit dan menyebarkan video lucah, tanpa mengira kedudukan individu terbabit.

Dalam kenyataan bersama mereka, kumpulan ketua wanita PKR negeri itu tidak mahu dalang berkenaan dibiarkan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Mereka turut mempersoalkan kedudukan dan maruah negara, sekiranya pelanggaran undang-undang seperti itu tidak dihukum dengan wajar.

“Kami menggesa tindakan tegas diambil terhadap dalang yang mengarah dan mengupah, agar kerja kotor itu dijalankan, tanpa mengira setinggi mana pun kedudukan individu terbabit. Perbuatan seperti ini wajar dihukum.

“Penggunaan strategi politik kotor sebegini mungkin akan berulang lagi dan sudah pasti ia akan mengakibatkan pentadbiran negara terganggu dan pembaziran sumber berlaku sedangkan negara ini sedang berada dalam rangka pembinaan semula yang rancak.

“Cukup-cukuplah kami tetap dengan pendirian yang tidak berganjak sejak 20 tahun lalu. Dulu kami bersatu menolak politik longkang, kini kami tetap berpendirian kukuh menolak politik kotor dan bersolidariti dengan individu yang dianiaya,” kata mereka menerusi kenyataan bersama hari ini.

Pemimpin Wanita PKR negeri yang bersama dalam kenyataan itu ialah Ketua Wanita Melaka, Ginie Lim; Ketua Wanita Sarawak, Nurhanim Mokhsen; Ketua Wanita Perak, Chua Yee Ling; Ketua Wanita Terengganu, Sharifah Norhayati Syed Omar; Ketua Wanita Negeri Sembilan, Azlinah Zamli; Ketua Wanita Johor, Rahamizon Abdul Ghani; Ketua Wanita Kelantan, Nor Hanazalmah Mat Yusoff; Ketua Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Idawatie Pariman; Ketua Wanita Selangor, Dr Daroyah Alwi; Ketua Wanita Sabah, Rahimah Majid; Ketua Wanita Kedah, Suraiya Hashim; Ketua Wanita Perlis, Gan Ay Ling dan Ketua Wanita Pahang, Sitarunisah Ab Kadir.

Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria, tidak terbabit dalam kenyataan kerana gagal dihubungi.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, dilaporkan berkata pemimpin sebuah parti politik dikesan mewujudkan pakatan jahat dalam penularan video lucah berkenaan yang bertujuan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Abdul Hamid dalam kenyataannya, mendedahkan analisis oleh CyberSecurity Malaysia mendapati, kebarangkalian video lucah terbabit tulen adalah tinggi, namun proses pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku dengan individu yang dimaksudkan. – WD MY