KUALA LUMPUR, 3 Dis – Siap Sedia…… Wanita UMNO akan mempersiapkan diri sepenuhnya dan menyahut cabaran jika diperuntukkan 30 peratus kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata lebih 50 peratus pengundi PRU-14 adalah wanita dan survival mana-mana parti politik serta kerajaan akan lebih terjamin apabila pemimpin wanita dan isu wanita diarus perdanakan.

Katanya, ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 14 atau 6.3 peratus Ahli Parlimen Wanita Barisan Nasional (BN) termasuk lapan Wanita UMNO dan enam parti komponen, iaitu hanya 9.3 peratus Wanita UMNO daripada 86 Ahli Parlimen parti itu.

“Di Dewan Negara, Wanita UMNO ada lapan dan wanita parti komponen ada tiga daripada 63 kerusi. Di Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, kita hanya ada 25 Wanita UMNO dan lima Wanita parti komponen.

“Maka, semasa perasmian (Perhimpunan Agung) Wanita, Pemuda dan Puteri, apabila Datuk Seri Dr Zahid Hamidi (Timbalan Presiden UMNO) kata nak bisik dengan Presiden (Datuk Seri Najib Razak) untuk 30 peratus calon wanita, kami bukan hanya menyambut baik, malah akan mempersiapkan diri untuk menyahut cabaran ini.

“Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pergerakan itu pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. – WD MY