KUALA LUMPUR, 29 Nov – Bergerak Ke Hadapan…… Pergerakan Wanita UMNO perlu bergerak selangkah ke hadapan supaya lebih proaktif dan dominan bukan saja dalam melaksanakan dasar parti dan kerajaan, sebaliknya turut mengusulkan dan merencana dasar berkenaan.

Gesaan itu selaras dengan senario politik negara hari ini yang memerlukan Wanita UMNO tidak hanya menjadi pengikut dan pelaksana yang baik semata-mata.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, selaku Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung UMNO 2016, menetapkan Wanita UMNO akan menjadi pencadang dan penyokong usul Ucapan Dasar Presiden.

Hishammuddin, mengetengahkan tiga dasar kritikal untuk dilaksanakan bagi memantapkan pergerakan itu.

Pertama, Wanita UMNO perlu mempunyai pelan strategik jangka pendek dan panjang untuk menjadikan pergerakan itu lebih berfokus, mengelakkan pertindihan, menilai dan menambahbaik keperluan parti serta menjadikan pergerakan lebih tersusun.

Kedua, Wanita UMNO perlu merangka program melahirkan pemimpin pelapis dengan memberi fokus kepada pencarian dan ikhtiar menggilap bakat dalam kalangan golongan muda.

“Ketiga, mencari formula dan pendekatan baharu dalam perjuangan dengan menjadikan Wanita UMNO bersuara lantang dalam memberikan pendapat dan menentang perkara membinasakan parti,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Nadi Negara 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Majlis Anugerah Nadi Negara diadakan sejak tahun 2009 bagi menghargai graduan universiti tempatan dan luar negara. Seramai 23 orang menerima anugerah berkenaan tahun ini.

Penerima dipilih berdasarkan kecemerlangan dalam akademik, kepemimpinan dan kokurikulum.

Sementara itu, tiga ahli Wanita UMNO dipilih sebagai Tokoh Penggerak Pendidikan sebagai menghargai jasa dan sumbangan dalam bidang pendidikan. – WD MY