KUALA LUMPUR, 3 Feb -SEMBUR…… Lapan anggota polis dan empat anggota bomba mengalami pedih mata akibat terkena semburan lada hitam dilepaskan seorang penghuni kondominium dekat Mont Kiara, Jalan Dutamas petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.56 petang, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas mulanya ke lokasi terbabit untuk memberi khidmat khas bagi membantu polis memecah pintu sebuah unit kediaman di situ.

Ini kerana penghuninya enggan memberi kerjasama kepada polis yang menerima laporan pemilik kediaman berkenaan yang mendakwa penyewanya, seorang wanita warga Amerika Syarikat bertindak agresif menyembur mereka dengan penyembur lada hitam.

Difahamkan, pemilik rumah yang juga sepasang suami isteri ke kediaman itu, kira-kira jam 2.30 petang untuk menukar mangga kunci selepas mengarahkan penyewa itu mengosongkan kediaman berkenaan dan sepatutnya keluar dari situ, kelmarin.

Bagaimanapun, ketika cuma membuka pintu, ia disekat dari dalam, sebelum suspek membukanya dan menyembur mereka dengan bahan yang menyebabkan mereka berasa pedih mata dan kulit.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata terkejut dengan tindakan agresif suspek, pemilik rumah akhirnya terpaksa meminta bantuan polis serta pihak bomba.

“Anggota polis yang tiba kemudian mengetuk pintu rumah terbabit namun mereka turut disembur dengan penyembur berkenaan dan ketika kejadian lima anggota bomba turut berada di situ.

“Empat anggota bomba turut terkena semburan bahan terbabit ketika cuba membantu polis membuka pintu dan mereka semua dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya hari ini.

Munusamy berkata, sepasukan anggota polis kemudian berjaya memujuk suspek yang akhirnya menyerah diri.

“Suspek berusia 42 tahun itu mengaku menyembur penyembur pemedih mata ke arah anggota polis dan bomba.

“Dia akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya lagi yang turut memberitahu perkara itu akan dimaklumkan kepada pihak kedutaan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, memaklumkan empat anggotanya mengalami pedih mata selepas terkena semburan berkenaan yang sepatutnya digunakan untuk menghalau beruang.

“Mereka cuba membersihkan mata dengan membasuhnya dengan air, bagaimanapun mereka akhirnya dikejarkan ke HKL untuk rawatan.

“Kesemua dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar dan kita menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk siasatan,” katanya. – WD MY