NILAI, 9 Jun – Maut…… Seorang wanita warga Kenya maut apabila kereta dipandunya dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan lain di Kilometer 269 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Baharin Ayob, berkata dalam kejadian jam 3.25 petang itu, mangsa yang berusia 23 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Beliau berkata, kakak mangsa berusia 28 tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan ketika kejadian, mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dekat sini.

“Kita difahamkan satu daripada tayar kereta mangsa pancit ketika berada di lorong kanan dan dia cuba menukar lorong untuk berhenti di bahu jalan tetapi sebuah kereta di lorong tengah merempuh keretanya.

“Berikutan pelanggaran itu, kereta mangsa remuk manakala sebuah lagi kereta terbakar. Pemandu kereta yang terbakar iaitu lelaki berusia 40-an, bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan,” katanya. WD MY

LEAVE A REPLY