DUBAI, 19 Julai – Ditahan….. Wanita warga Arab Saudi sudah ditahan susulan rakaman video yang viral menunjukkan beliau menyusuri sebuah jalan yang kosong memakai skirt pendek dan baju singkat, lapor rangkaian televisyen Ekhbariya, semalam.

Rakaman video itu menerima kritikan hebat pengguna media sosial di Arab Saudi menerusi #Model Khulood mesti dibicarakan, yang merujuk kepada akaun Snapchat wanita itu.

Kebanyakan pengkritik berkongsi gambar video wanita itu yang mendedahkan bahagian kakinya, manakala imej pinggangnya pula dikaburkan.

Rakaman video itu menunjukkan imej seorang wanita yang identitinya tidak dikenali berjalan seorang diri di sebuah jalan yang dikelilingi dinding bata lumpur.

Jalan itu dipercayai terletak di Ushaiqir, sebuah kampung warisan di luar ibu negara Arab Saudi, iaitu Riyadh.

“Polis Riyadh sudah menahan wanita yang dipaparkan memakai pakaian tidak senonoh di Ushaiqir dan sudah merujuk kes itu kepada pihak pendakwa raya awam,” lapor Ekhbariya dalam akaun Twitter rasminya. – WD MY