MAKKAH, 21 MEI – BANTU…. Ramadan menyaksikan ramai penduduk Arab Saudi menawar diri menjadi sukarelawan di kota suci ini khusus bagi membantu jemaah, merawat masalah kesihatan serta sebarang isu lain supaya ibadat umrah mereka dapat dilaksanakan dengan selesa.

Doktor, guru, jurutera dan kakitangan kerajaan antara yang meluangkan masa dan tenaga ketika bulan suci Ramadan bagi membantu jutaan umat Islam di kota suci itu.

Ketua sebuah kumpulan sukarelawan digelar Nabad, Dr Yasser Al-Sharif berkata, golongan profesional perubatan dan pakar lain memfokuskan merawat penduduk dan pelawat menerusi aktiviti di pusat beli-belah, hospital dan pusat kesihatan.

“Nabad menyumbang untuk mempromosi pengetahuan di kalangan anggota masyarakat awam dan memfokuskan memberi khidmat kepada balu, janda, penduduk berpendapatan rendah, individu dengan keperluan khas dan warga emas menerusi aktiviti dijalankan hasil kerjasama badan kerajaan,” kata Dr Yasser kepada Arab News.

Beliau berkata, 1,400 doktor dan pelajar perubatan menjadi sukarelawan, dengan harapan melakukan sesuatu yang berbeza dan berkhidmat kepada negara.

Katanya, aktiviti itu menyasar meningkatkan kesedaran mengenai beberapa program termasuk duta memperkasa kesihatan untuk tetamu Masjidilharam dengan jemaah juga diberi maklumat ketika tiba di lapangan terbang dalam pelbagai bahasa.

Seorang sukarelawan untuk program jemaah, Rania Shodari berkata, dirinya bertugas memberi hadiah dan memperkenalkan jemaah dengan mercu tanda Makkah.

“Menjadi sukarelawan datangnya daripada hati dan bukan bermaksud untuk menunjuk-nunjuk. Kami memfokus membawa senyuman kepada wajah jemaah dan memperhebat usaha menggambarkan layanan baik Arab Saudi, dari saat mereka tiba sehingga mereka pulang,” katanya. – WD MY