KAJANG, 12 FEB – TEMBAK….Dua lelaki warga asing dipercayai dalang sindiket penculikan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor ditembak mati dalam kejadian di Taman Mudun, Batu 9, Cheras, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata sebelum itu polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur membuat serbuan di sebuah rumah kira-kira jam 1.35 pagi, susulan maklumat mengenai aktiviti suspek yang menjadikan sebuah rumah di kawasan itu sebagai lokasi menyembunyikan mangsa.

Katanya, ketika serbuan berlaku insiden tembak-menembak antara anggota polis dengan suspek sebelum kedua-dua mereka berjaya ditumpaskan.

“Anggota melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri selepas suspek menembak ke arah polis.

“Dalam kejadian itu, kita turut berjaya menyelamatkan seorang mangsa culik warga Bangladesh berusia awal 30-an.

“Mangsa diculik di kawasan Sentul pada 8 Februari lalu sebelum dibawa ke kawasan Batu 9 Cheras ini untuk disembunyikan,” katanya kepada media.

Ahmad Dzaffir berkata, turut dirampas di lokasi kejadian adalah sepucuk pistol jenis 9mm dan sebilah parang yang digunakan suspek.

Katanya, identiti dan warga negara kedua-dua suspek masih dalam siasatan berikutan tiada dokumen pengenalan dijumpai bersama suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.- WD MY