Warga Asing Seludup Dan Edar Dadah Di Cekup Polis

0
42

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Tahan….. Sembilan lelaki warganegara asing ditahan polis kerana disyaki menyeludup dan mengedar dadah yang dianggar bernilai RM100,000 di sekitar Wangsa Maju, pada Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata hasil maklumat risikan dan serbuan bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) berjaya merampas syabu seberat satu kilogram.

Katanya kesemua mereka yang ditahan itu merupakan kumpulan yang didalangi sindiket antarabangsa bergiat aktif di negara ini sejak tiga tahun lepas.

“Warganegara asing yang ditahan terdiri daripada lapan warga Nigeria yang berumur 25 hingga 39 tahun manakala seorang lagi warga Uganda berumur 25 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati lima daripada suspek merupakan penuntut institusi pengajian tinggi dan syabu yang dirampas dibawa masuk dari China,” katanya dalam sidang akhbar di Menara 2, Bukit Aman, di sini.

 

Mohd Mokhtar berkata kesemua rampasan syabu berkenaan dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan.

“Kesemua suspek akan direman selama tujuh hari sehingga Jumaat depan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, kesemua mereka juga turut direman selama 14 hari sehingga 30 Jun ini mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959,” katanya.

Beliau menggesa pihak institusi pengajian tinggi supaya lebih waspada dalam pengambilan warga asing sebagai pelajar agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan dadah.

Mohd Mokhtar berkata polis akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dadah tempatan dan antarabangsa ke arah pembanterasan dan memerangi dadah. – WD MY