KUALA LUMPU, 12 Bov – SERANG….. Lebih 30 pekerja asing warga asing ditahan selepas cuba menyerang sekumpulan anggota polis yang melakukan pemeriksaan di Jalan Abraham off Jalan Imbi malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, sekumpulan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) polis sedang melakukan pemeriksaan susulan maklumat berhubung kegiatan perjudian di hadapan beberapa unit kediaman didiami ratusan pekerja kontrak warga asing.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Shaharuddin Abdullah, berkata sekumpulan 20 hingga 30 lelaki warga asing terbabit cuba menyerang anggota polis selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Menyedari ancaman yang dihadapi, anggota polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke udara bagi mengawal keadaan.

“Keadaan dapat dikawal dengan bantuan beberapa pegawai dan anggota polis lain yang menerima maklumat serangan berkenaan,” katanya.

Katanya, pemeriksaan mendapati kira-kira 200 pekerja kontrak warga asing tinggal di kawasan terbabit.

“Hampir 50 lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan judi dan cuba menyerang polis ditahan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” katanya.

Shaharuddin berkata, mereka ditahan bagi membolehkan pihak polis menjalankan pemeriksaan dokumentasi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147/363 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rusuhan dan Seksyen 6, Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – WD MY