NIBONG TEBAL, 6 Sept – MAUT…… Lelaki warga Bangladesh mati ditikam rakan senegaranya di tapak projek perumahan dekat Kampung Selamat, Sungai Bakap, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Siraz, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah ditikam dengan sebilah pisau di dada.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafee Abd Samad, berkata kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa memindahkan barang peribadinya dari rumah di tapak projek perumahan itu, sebelum tiba-tiba berlaku pertengkaran dengan rakan senegaranya berusia 30 tahun.

“Mangsa meminta supaya suspek memulangkan wayar penyambung (extension) kepadanya namun berlaku pertengkaran antara mereka berdua.

“Pergaduhan itu menyebabkan mangsa ditikam di dada dan saksi yang melihat kejadian itu memberitahu mangsa berlari keluar daripada rumah dalam keadaan berlumuran darah sebelum jatuh ke lantai,” katanya.

Shafee berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) di sini untuk bedah siasat dan polis menahan suspek di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan kerana membunuh,” katanya. – WD MY