RIYADH, 23 April – MAUT…. Empat warga Britain maut, manakala 12 lagi cedera selepas bas yang dinaiki bertembung dengan lori tangki di Al Khalas di barat Arab Saudi ketika dalam perjalanan menunaikan umrah di Makkah.

“Kedutaan Arab Saudi di London kini bekerjasama dengan Pejabat Luar Negara (Britain) untuk mengeluarkan visa kecemasan kepada semua ahli keluarga keempat-empat warga Britain yang meninggal dunia, selain 12 lagi keluarga mangsa yang cedera.

“Semua mangsa yang cedera sudah dibawa ke hospital di Makkah,” kata pihak kedutaan dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Duta Arab Saudi ke Britain, Mohammed bin Nawaf turut melahirkan rasa simpatinya atas kejadian itu menerusi Twitter.

Menurut laporan media tempatan Britain, antara mangsa terkorban, termasuk seorang wanita berusia 70 tahun dari Blackburn di utara England, seorang lelaki warga emas, seorang wanita dan anak lelakinya, yang semuanya berasal dari Preston. – WD MY