JITRA, 8 Okt  – PISTOL TIRUAN…….Warga emas ditahan polis gara-gara membeli pistol tiruan dari sebuah kedai di Hatyai, Thailand untuk menembak tikus dan cicak,.

Kedua-dua lelaki warga emas ditahan polis di hadapan sebuah premis restoran di pekan Changlun.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata kedua-dua suspek berusia 75 dan 65 tahun itu ditahan pada 1 tengah hari tadi oleh sepasukan anggota yang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan itu.

“Kedua-dua suspek berada dalam keadaan mencurigakan dengan seorang daripadanya memegang beg plastik berwarna hitam.

“Hasil pemeriksaan terhadap beg plastik itu, polis menemukan sepucuk pistol tiruan berwarna hijau gelap, sarung pistol, dua plastik berisi bebola plastik kecil dan kotak pistol tertera tulisan ‘Air Soft Gun K32’’,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek, yang berasal dari Kuala Lumpur dan Shah Alam, mengaku masuk ke Thailand pada Khamis lalu untuk bercuti di Hatyai.

 

“Mereka singgah di sebuah kedai dan ditawarkan satu set pistol tiruan berharga 1,000 baht…seorang suspek yang membeli pistol itu menyatakan bahawa ia hanya untuk digunakan bagi tujuan menembak tikus dan cicak di rumahnya” kata beliau.

Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Jitra pagi ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960. – WD MY