BINTULU, 12 Dis – LEMAS…….. Lelaki warga emas mandi bersama beberapa rakannya di pantai Tanjung Batu, berakhir tragedi apabila dia lemas selepas ditarik ombak, malam tadi.

Mayat mangsa, Ting Tung Sing, 66, ditemui oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira 30 meter dari pantai pada jam 8.09 malam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.55 malam.

Lapan anggota termasuk dua anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi pada jam 8.04 malam, anggota terus menjalankan pencarian dan menemui mangsa lima minit kemudian.

“Bagaimanapun, anggota paramedik yang turut berada di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati apabila mandi di pantai ketika musim tengkujuh ini.

“Keadaan cuaca tidak menentu ketika ini menyebabkan ombak agak besar dan berbahaya.

“Patuhi arahan pengawal pantai atau lihat sebarang tanda amaran sebelum mandi di pantai,” katanya. – WD MY