AMPANG JAYA, 27 Feb – TERJATUH…. Wanita warga emas maut dipercayai terjatuh dari tingkat dua bangunan Blok A Apartmen Antara, Taman Mulia Jaya di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota pasukan perubatan Hospital Ampang yang ke lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaidi Hassan, berkata siasatan mendapati mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu dipercayai jatuh dari tingkat dua blok apartmen berkenaan .

“Kita belum dapat kenal pasti identitinya namun mangsa adalah seorang wanita tempatan dianggarkan berusia 60-an.

“Buat masa ini kita sedang berusaha mengesan waris mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – WD MY