JOHOR BAHRU, 1 Jun – Mengaku Bersalah Miliki Kad Pengenalan Palsu….Seramai 24 warga Filipina termasuk lapan wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret ini, hari ini, atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan orang lain dan memiliki kad pengenalan palsu.

Semua tertuduh yang berusia 25 hingga 60 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Mahkamah memerintahkan 23 daripada mereka menjalani hukuman penjara 10 bulan, manakala seorang lagi tertuduh lelaki dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan dengan semua hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 19 Mei lalu.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Mohd Fazdhly Abdul Razak dan Mohd Ashgar Mohd Hussain, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Semua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum mengikut peraturan sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, semua tertuduh ditahan dalam operasi membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan di sekitar Pasir Gudang dan Masai, dekat sini antara jam 1.30 pagi hingga 6 pagi, pada 19 Mei lalu. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY