PASIR PUTEH, 4 Sept – Paling Banyak Hisap Rokok…. Warga Kelantan paling ramai menjadi perokok di Malaysia, mengikut dapatan kaji selidik Global Adult Tobacco Survey (GATS), sebuah unit di bawah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir, berkata berdasarkan tinjauan berkenaan, seramai 300,000 (24.6 peratus) rakyat negeri itu terbabit sebagai perokok dalam kalangan dewasa iaitu berusia 15 tahun ke atas.

Katanya, Kementerian Kesihatan memandang serius fenomena penularan merokok itu apabila terdapat juga perokok terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan berusia antara 13 hingga 15 tahun.

“Kita menyasarkan penurunan kadar merokok kepada 15 peratus menjelang 2025 dan sebanyak lima peratus menjelang 2045 nanti.

“Matlamat ini diharap dapat dicapai menerusi pelbagai program seperti Generasi Bebas Amalan Merokok,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kelantan dan Pelancaran Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR), di Dataran Ilmu, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Dr Nor Azmi Abdullah.

Yang turut hadir, Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd Anis Hussein dan Pegawai Kesihatan Dearah, Dr Zawiyah Dollah.

Dr Ahmad Razin berkata, hasil tinjauan GATS pada 2015 menunjukkan kadar perokok dalam kalangan dewasa 15 tahun ke atas sebanyak 22.8 peratus dengan kira-kira lima juta perokok di seluruh negara, membabitkan 43.0 peratus lelaki, manakala 1.4 peratus adalah wanita.

“Kementerian Kesihatan juga menyasarkan kanak-kanak yang lahir pada 2009 dan ke atas tidak merokok sepanjang hayat mereka.

“Menerusi Pelan Strategik Kebangsaan bagi kawalan tembakau, kementerian merancang memperluaskan lagi tempat awam sebagai kawasan larangan merokok,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY