PUTRAJAYA, 29 Julai – Seluruh warga kerja Kementerian Dalam Negeri berbangga
dengan perlantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri
bermula hari ini.

Seramai 200 kakitangan di KDN Putrajaya meraikan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri
dalam satu majlis ringkas di sini.

Nampak keceriaan dan keterujaan warga kementerian tetap terserlah walaupun ringkas namun
mereka sanggup menunggu begitu awal agar tidak terlepas peluang untuk bersalaman
dengan Timbalan Perdana Menteri yang baru itu.

Ahmad Zahid yang tiba sekitar 4.45 petang disambut oleh dua timbalannya, Datuk Nur
Jazlan Mohamed dan Masir Kujat; Ketua Setiausaha kementerian Datuk Alwi Ibrahim;
dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Turut menyambut ketibaan beliau adalah bekas timbalannya Datuk Dr Wan
Junaidi Tuanku Jaafar yang kini Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Menurut Alwi dalam ucapan ringkasnya mengambil kesempatan merakamkan penghargaan
bagi pihak kementerian atas pelantikan tersebut selain menyatakan komitmen
seluruh warga kementerian memberikan khidmat terbaik sebagai tanda sokongan.

Ahmad Zahid kemudiannya dijemput untuk memotong pulut kuning sebagai tanda
penghargaan di atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau turut menyaksikan kedua-dua timbalannya menandatangani buku tetamu
sebagai simbolik kehadiran mereka di kementerian itu sebelum kesemua mereka
bergambar bersama.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY