KUALA LUMPUR, 14 Julai – Aliran trafik keluar dari ibu kota mulai
sibuk berikutan semakin ramai warganya mula pulang ke kampung masing-masing
hari ini bagi menyambut perayaan Aidilfitri yang kian menjelang.

Beberapa jalan utama dan lebuh raya sudah mula dipenuhi kenderaan, dengan
laluan ke Pantai Timur sudah berlaku kesesakan di beberapa kawasan.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik secara
keseluruhan masih lancar dan terkawal tetapi kesesakan dilaporkan berlaku di
Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Kuala Terengganu.

“Berlaku sedikit kesesakan sepanjang satu kilometer di Plaza Tol Gombak
manakala trafik di Plaza Tol Kuala Terengganu pula sesak sepanjang 500
meter,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, laluan ke utara dan selatan iaitu di Lebuhraya PLUS ketika
ini masih lancar tetapi dijangka semakin sibuk selepas waktu pejabat nanti.

Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd berkata tiada
kesesakan lalu lintas berlaku di kedua-dua arah lebuh raya tersebut ketika ini.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan aliran trafik bakal meningkat selepas
waktu berbuka puasa hari ini,” katanya.

Orang ramai boleh mendapat maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol
Plusline di 1800-88-0000.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY