KUALA LUMPUR, 8 Mac – HADAP…… Akauntan warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini, atas 11 pertuduhan termasuk memiliki pasport milik dua individu lain dan pelbagai cop palsu milik Jabatan Imigresen, Februari lalu.

Abdullah Qayyum, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa memiliki pasport warga India dan Filipina yang dikeluarkan untuk milik orang lain di dua tempat berasingan di rumahnya, di Jalan SG 8/9, Taman Seri Gombak, Batu Caves dan di sebuah restoran makanan segera di kawasan sama antara jam 7.30 malam dan 8.45 malam, 19 Februari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966(Akta 150) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mengikut pertuduhan ketiga hingga ke-11, Abdullah didakwa memiliki satu cop pas khas Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Wilayah Persekuatuan Kuala Lumpur, satu cop jata jabatan bahagian penguatkuasa Kuala Lumpur, satu cop khas lawatan sosial Pejabat Imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar, satu cop keluar Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), tiga pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS), satu I-Kad atas nama Pinto Riza, yang didapati dipalsukan di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) di baca bersama Seksyen 55D akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM30,000 dan penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat tidak lebih daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Imigresen, Mohd Khairul Amri Mohd Zainuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Ikrimah Mohd Raya.

Terdahulu, Mohd Khairul Amri tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dengan mengambil kira lelaki itu adalah warga asing.

Namun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin warganegara tempatan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri kepada pegawai penyiasat Imigresen setiap Khamis pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Nurul Ikrimah, bagaimanapun memohon anak guamnya dibenarkan jaminan rendah atas alasan isteri tertuduh sedang sarat mengandung di Filipina.

Wan Mohd Norisham kemudian membenarkan tertuduh diikat RM100,000 dengan dua penjamin warganegara tempatan serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri seminggu sekali kepada pegawai penyiasat Imigresen selain pasport diserahkan ke mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mei ini. – WD MY