TUARAN, 9 JUN – SAMUN…. Seorang peniaga warga Pakistan bukan saja kerugian, malah ditetak menggunakan parang ketika disamun di kedai runcitnya di Kampung Dungang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 23 tahun terbabit parah di kepala selepas cuba menghalang penjenayah daripada melarikan telefon bimbit Samsung S6 miliknya.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati, mangsa didatangi dua suspek lelaki yang memakai topi keledar.

Katanya, sebaik masuk ke kedai berkenaan, kedua-dua penjenayah terbabit terus menuju ke arah mangsa yang duduk di meja kaunter.

“Mangsa yang menyedari kehadiran suspek bertindak memukul seorang suspek namun dibalas dengan tetakan menggunakan parang dan terkena bahagian kanan kepala.

“Suspek kemudiannya merampas telefon bimbit mangsa dan melarikan diri bersama rakannya dengan menaiki motosikal jenis Modenas Kriss berwarna putih dan hitam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Tuaran dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.

Sehubungan itu, Mohd Hamizi memohon kerjasama orang awam yang melihat kejadian itu atau mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan. – WD MY