KANGAR, 16 MEI – TAHAN…. Seorang lelaki warga Thailand bertindak menyamar sebagai pelanggan di gerainya sendiri ketika Bazar Ramadan Bintong di sini, diperiksa Jabatan Imigresen Perlis semalam.

Pengarah Imigresen negeri, Basri Othman, berkata bagaimanapun tindakan lelaki berusia lewat 20-an itu gagal selepas gerainya dikepung anggotanya yang mengesan tindak-tanduk lelaki itu yang mencurigakan.

Beliau berkata, lelaki itu tidak berada di gerai ketika pemeriksaan dan dia hanya menyedari gerainya diperiksa selepas melihat rakannya ditahan anggota Imigresen.

“Dia seolah-olah bertindak sebagai pelanggan dan berpura-pura meninjau lauk serta keadaan gerainya seperti pelanggan lain.

“Bagaimanapun, pihak kami berjaya mengesan tindakan itu dan anggota Imigresen yang menyamar sebagai pelanggan sempat menahannya,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Basri berkata, hasil pemeriksaan lelaki itu bersama rakannya gagal mengemukakan permit pekerjaan sebaliknya menunjukkan pas pelawat untuk masuk ke negara ini kepada pihaknya.

“Seramai lapan warga Thailand iaitu enam lelaki dan dua wanita berusia antara 28 hingga 35 tahun ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas pelawat untuk bekerja dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 atas kesalahan menyalahgunakan pas pelancong dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Kesemua mereka dibawa ke Depoh Imigresen Perlis dan akan direman bagi membantu siasatan lanjut. – WD MY