KUALA LUMPUR, 26 Mac – Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyarankan
warga kerja Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM)
perlu lebih aktif dalam memberi penerangan kepada rakyat berhubung isu-isu
semasa termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

Menurut Menterinya, mengambil contoh CBP yang akan dilaksanakan pada 1 April,
rakyat perlu faham dan jelas tentang bagaimana hasil yang dikutip dibelanjakan
semula untuk kesejahteraan mereka dengan penuh amanah oleh kerajaan.

Beliau berkata meskipun pelaksanaan CBP tergalas di bahu pelbagai
kementerian lain, namun kakitangan KKMM perlu meyakinkan rakyat bahawa membayar
cukai bukan satu beban, sebaliknya satu tanggungjawab.

“Cabaran bagi kami yang berada dalam Jemaah Menteri ialah tanggapan bahawa
wang itu diambil untuk kami. No (Tidak begitu). Wang itu diambil untuk kami
uruskan kembali kepada rakyat.

“Kami penjawat awam hanya pemegang amanah. Lebih banyak wang lebih mudah
kami serah kembali kepada rakyat,” katanya berucap pada Majlis Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang 2014 kementerian itu hari ini.

Ahmad Shabery seterusnya berkata tanggungjawab memberi penjelasan dan
kefahaman kepada rakyat memerlukan tahap kepintaran lebih tinggi pada hari ini.

Katanya, sebagai anggota kementerian, setiap kakitangan perlu mempunyai
semangat yang tinggi dan sanggup bekerja lebih masa termasuk untuk berfikir dan
mencari jawapan dan penyelesaian kepada pelbagai persoalan rakyat di samping
mencetus idea baharu.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata negara memerlukan CBP sebagai sumber
pendapatan yang baik kerana tidak selamanya ia mampu bergantung kepada hasil
komoditi seperti petrol dan minyak sawit.

“Rakyat perlu faham perkara ini dan kita perlu satu bentuk penerangan yang
berkesan, dan ia mestilah dilaksanakan KKMM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kakitangan yang cemerlang bukan hanya
bergantung kepada kerajinan dalam tugasan serta peribadi yang baik, sebaliknya
mampu menggunakan seluruh teknik dan kekuatan untuk memberi kefahaman kepada
rakyat.

“Peranan kakitangan kita ialah bagaimana jadi penyelesai masalah, bukan
sebahagian daripada masalah. Barulah dikatakan kakitangan ini kakitangan yang
cemerlang.

“Dan inilah tuntutan besar oleh kementerian kita lebih daripada kementerian
lain.

Ahmad Shabery berkata “Tanpa kita, orang tak fahami apakah hasrat keamanan, kemakmuran dan sistem
yang selama ini telah memberikan yang terbaik kepada negara. Inilah
tanggungjawab kita.” – Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY