BATU PAHAT, 21 Dis – Seramai 15 ahli keluarga mangsa kemalangan bas pelancong pada Ahad akan dibawa dari Batu Pahat, Johor ke Chiang Mai, Thailand, petang ini.

Mereka akan menaiki Penerbangan Thai Airways dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala lumpur (KLIA) pada jam 1 tengah hari ini dan dijangka tiba di Chiang Mai, 6 petang ini.

Premis agensi pelancongan berkenaan di Batu Pahat, mendapati ia menjadi tumpuan anggota keluarga dan waris mangsa kemalangan berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Menurut Pengurus Besar Chiu Travel Sdn Bhd, Tterence Yung, berdasarkan perbincangan, 15 waris yang mewakili tujuh keluarga mangsa nahas bersetuju untuk pergi ke Chiang Mai.

Katanya, mereka ditemani tiga kakitangan syarikat pelancongan berkenaan bagi menguruskan sijil kematian serta proses membawa pulang kesemua mayat mangsa.

“Kesemua waris kelihatan tenang ketika dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan, walaupun ada yang sedih dan menangis di pejabat.

“Kami juga sedih kerana kehilangan ketua rombongan berkenaan. Amat mengecewakan melihat mereka kehilangan anggota keluarga masing-masing,” katanya di sini, pagi tadi.

Terence yang turut kehilangan seorang ahli keluarganya yang merupakan ketua rombongan tersebut berkata, 22 mangsa kemalangan berkenaan dihantar ke empat hospital di sekitar Chiang Mai, iaitu Bangkok Hospital , McCormick Hospital, Doi Saket Hospital dan Suan Dok Hospital.

Jelasnya, proses bagi membawa pulang kesemua mayat mangsa ke Malaysia dijangka mengambil masa antara empat hingga tujuh hari.

Sementara itu, seorang waris mangsa, Goh Kim Yue, sedih dengan kejadian menimpa anggota keluarganya.

Menurutnya, pada awalnya, beliau mengetahui mengenai kejadian itu menerusi internet.

“Maklumat lanjut mengenai kemalangan berkenaan akan saya tahu apabila pergi ke sana (Chiang Mai),” katanya di sini, semalam.

Kesemua mangsa sepatutnya pulang ke Malaysia pada Isnin menaiki penerbangan pada jam 11 pagi dari Chiang Mai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura.

Seramai 13 rakyat Malaysia disahkan maut manakala sembilan lagi cedera termasuk empat parah dalam kemalangan bas di Chiang Mai pada Ahad.

Dalam kejadian 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia) itu, seramai 22 rakyat Malaysia berada dalam bas berkenaan selain beberapa penumpang lain yang belum dikenal pasti kewarganegaraan mereka. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY