KUALA LUMPUR, DISEMBER 26: TAK TIDUR..’Warkah dari Cordova untuk Nurul Izzah’ yang dicatatkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa semalam terus menerima usikan dan sindiran di laman sosial.

Terbaharu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tulisan yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar itu sebagai ‘drama’

Dalam hantaran terbaharu di Facebooknya, Najib bertanya kepada Mujahid berapa malam beliau tidak tidur berikutan bimbangkan keadaan Nurul Izzah yang pernah digelar ‘Puteri Reformasi’ suatu ketika dahulu.

Malah Najib turut menyarankan kepada Mujahid sekiranya masih sukar untuk tidur agar membaca doa kepada Allah memohon untuk memudahkan beliau tidur dengan tenang.

“Lepas baca warkah Cordova. ‘Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda’. Drama.

“Dah berapa malam tak tidur? Kalau masih tidak boleh tidur, bacalah doa mohon kepada Allah untuk mudah tidur dan tenang,” saran Najib.

Semalam Mujahid yang dalam perjalanan dari dari Cordova ke Madrid, Sepanyol menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah yang dipaparkan kepada umum di Facebook beliau.

Dalam warkah sepanjang 25 perenggan itu Mujahid memanggil Nurul Izzah sebagai adinda dan membahasakan diri beliau sebagai kekanda.

“Ke hadapan Adinda Nurul Izzah yang dikasihi.

“Kekanda kini dalam perjalanan darat tiga jam dari bandar bersejarah Cordova ke Madrid. Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda setelah keputusan adinda tempoh hari. Semoga adinda berada dalam keadaan sihat dan tenang menghadapi berbagai cabaran selaku ‘Puteri Reformasi’,” tulis Mujahid pada permulaan warkah tersebut.

Warkah yang ditulis beliau itu sehingga kini menerima 10,000 komen dan hampir 6,000 perkongsian.

“Nak muntah aku. Mentang-menanglah dia tu single. Hang boleh main adinda kekanda bagai,” komen Faeez Yussof.

“Ingatkan masa bercuti dia ingat pasal tugas yang tak selesai untuk rakyat, agama dan masyarakat. Tapi rupanya gigih menulis warkah panjang berjela untuk adinda Nurul Izzah dia,” tulis Tun Carlos.

“Buang la hantaran ni Datuk. Kalau ayahanda-anakanda saya boleh terima lagi. Kekanda dinda ni dah kenapa?” tanya Nursyuhada M Zulkifli.-MY WD