SIBU, 1 Ogos – Waspada….. Pihak Polis Sibu hari ini meminta orang ramai berwaspada apabila menerima panggilan telefon daripada pihak yang mengaku polis susulan kewujudan sindiket menyamar sebagai pasukan keselamatan itu dan meminta wang daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah berkata pihaknya menerima empat laporan polis daripada orang ramai berkaitan taktik terbaharu sindiket penipuan tersebut.

Mangsa mendakwa menerima panggilan daripada seorang anggota polis dari Bukit Aman kononnya anak mangsa telah ditahan atas kesalahan narkotik dan meminta mangsa membayar sejumlah wang untuk membolehkan anaknya dibebaskan, kata Saiful Bahari.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas pembayaran dibuat,” katanya kepada pemberita pada program kemasyarakatan polis, di pusat komersial Farley, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saiful Bahari berkata polis akan menghubungi keluarga seseorang individu yang ditahan tetapi bukan untuk meminta wang bagi tujuan melepaskan individu tersebut.

“Sekiranya anda menerima panggilan seumpama itu, dari Semenanjung ataupun mana-mana kawasan sekalipun, anda boleh menghubungi OCS (Ketua Polis Balai) kami untuk mendapatkan pengesahan.

“Jangan sesekali terus percaya apabila anda menerima panggilan itu. Hubungi kami untuk mendapatkan kepastian,” katanya. – WD MY