KUALA LUMPUR 21 Dis – PECAH BELAH….. Desakan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meletak jawatan terus memuncak dengan terbaharu datangnya daripada penyokong kuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin menegaskan Waytha Moorthy telah menjadi watak yang memecah-belahkan rak­yat, sekali gus hilang kelayakan sebagai menteri.

Oleh itu, A. Kadir menggesa Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu mele­takkan jawatan daripada terus membebankan Dr. Mahathir.

“Saya setuju dengan sentimen umum bahawa Waytha Moorthy telah hilang kelayakan dan kedudukan untuk terus menjadi menteri apatah lagi menteri yang menjaga perpa­duan nasional.

“Beliau telah menjadi watak yang memecah-belahkan (divisive). Eloklah beliau menarik diri secara sukarela daripada membebankan Dr. Mahathir, walaupun Tun berkata beliau ‘puas hati’ dengan Waytha Moorthy,” katanya menerusi catatan terbaharu di blognya https://kadirjasin.blogspot.com hari ini.

Tambah A. Kadir lagi, Waytha Moorthy telah mensia-siakan peluang dan penghormatan yang tinggi diberikan kepadanya untuk menjadi anggota Kabinet.

Sementara itu, A. Kadir berkata, pelaku yang mengakibatkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim dalam insiden rusuhan di kuil berkenaan wajib diburu dan dijatuhkan hukuman setimpal.

“Punca tragedi bukanlah kesilapan Allahyarham memilih kerja, yang tragis adalah dia terbunuh ketika bertugas menyelamatkan nyawa dan harta benda dalam satu rusuhan ganas.

“Penjenayah atau kumpulan penjenayah yang menyebabkan kematiannya, tidak kira bangsa atau agama wajib diburu dan dijatuhkan hukuman yang setimpal,” katanya. – WD MY