KUALA LUMPUR, NOVEMBER 5: PRESIDEN MCA…Anggota Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong yang merupakan satu-satunya wakil rakyat MCA di Dewan Rakyat hari ini dipilih sebagai Presiden baru parti komponen BN itu.

Selepas berkhidmat sebagai timbalan presiden MCA selama satu penggal, Wee merebut jawatan presiden itu dalam pertembungan tiga penjuru.

Saingan Wee ialah Ketua Pemuda MCA Bahagian Beruas Ngoo Teck Keong dan Ketua MCA Bahagian Kluang, Gan Ping Sieu.

Bagaimanapun, pertandingan presiden MCA dilihat sebagai persaingan di antara Wee dan Gan yang disokong bekas presiden parti, Tan Sri Chua Soi Lek.

Kemenangan luar biasa

Gan dalam hantaran Facebooknya mengaku kalah walaupun proses pengiraan undi masih belum selesai selepas Wee jauh meninggalkan para pencabarnya.

“Saya telah bercakap kepada Wee dan mengucapkan tahniah kepadanya kerana menjadi Presiden baru MCA,” kata Gan.

Wee pada sidang akhbar selepas kemenangannya di ibu pejabat MCA malam ini menggambarkannya sebagai “luar biasa” dan rangsangan untuk pasukan MCA yang baru.

Presiden baru MCA juga memberitahu menerima panggilan telefon daripada Gan yang menyampaikan ucapan tahniah dan menggesa semua anggota, termasuk mereka yang kalah supaya merapatkan barisan.

“Kita harus mempraktikkan politik yang matang dan meletakkan kepentingan parti itu di atas segala-galanya,” katanya.

Ditanya jika beliau akan melantik lawannya yang kalah ke dalam kepimpinan MCA, Wee berkata beliau akan membincangkan perkara tersebut selepas mendapat tahu semua keputusan bagi pertandingan semua jawatan parti itu.

Pasukan Wee dijangka menang

Sementara itu, rakan sepasukan Wee, Datuk Mah Hang Soon juga dijangka menang jawatan timbalan presiden MCA selepas selesa mendahului lawannya, Datuk Tee Siew Kiong.

Sekutu Wee, Datuk Tan Teik Cheng, Ti Lian Ker, Datuk Lim Ban Hong dan Datuk Yew Teong Look juga dijangka memenangi empat jawatan naib presiden.

Semalam, Nicole Wong menjadi wanita pertama yang dipilih sebagai Ketua Pemuda MCA. Wong juga berada dalam pasukan Wee.

MCA mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah parti itu pada pilihan raya umum ke-14 lalu, menyaksikan daripada tujuh anggota parlimen parti itu merosot hanya tinggal satu kerusi di Dewan Rakyat.

Pada pilihan raya umum 2008, MCA menang 31 kerusi parlimen.-MY WD