KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Weststar Maxus Sdn Bhd, anggota Weststar Group,
mengambil bahagian dalam Pertunjukan Auto Antarabangsa Indonesia Gaikindo 2015
(GIIAS) di Pameran Konvensyen Indonesia (ICE) pada 20 hingga 30 Ogos.

Kumpulan itu akan mempamerkan kombinasi bersepadu kenderaan komersil
Weststar Maxus bagi memperluas jangkauan kepada perniagaan dan penduduk
Indonesia yang lebih ramai.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Weststar Group, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim
berkata, “Kami telah mengenal pasti pasaran Indonesia sebagai destinasi berdaya maju
untuk pengembangan serantau bagi beberapa tahun akan datang.

“Perniagaan dalam pelbagai industri, terutama pengangkutan, telah berkembang
pesat dengan mendapat manfaat daripada pertumbuhan industri pelancongan
Indonesia yang memacu lebih banyak permintaan kepada kenderaan komersil,” kata beliau.

PT Weststar Maxus Indonesia menawarkan pelanggan Indonesia pelbagai pilihan
kenderaan tempahan khusus dan fabrikasi.

Weststar Maxus memulakan operasi runcit di Jakarta pada akhir 2014 dan kini
mempunyai lapan pengedar jualan dan perkhidmatan di enam wilayah di Indonesia,
iaitu di Jakarta, Bandung, Surabaya, Makasar, Lampung dan Bali.

Beribu pejabat di Jakarta, aktiviti PT Weststar Maxus meliputi pemasaran,
jualan, perkhidmatan selepas jualan, tempahan khas serta aktiviti berkaitan
untuk pasaran Indonesia.

Baru-baru ini, pelancaran rasmi Weststar Maxus V80, Weststar Maxus dijangka
akan memenuhi permintaan perniagaan dan segmen kenderaan tempahan khas
berorientasikan gaya hidup mewah.

“Kami percaya terdapat potensi besar untuk Maxus V80 dengan mengambil kira
saiznya yang ideal serta konfigurasi menarik.

“Dengan kepakaran kami dalam reka bentuk kejuruteraan automotif, tempahan
khas dan fabrikasi, V80 boleh dipasang atau disesuaikan untuk sebarang aplikasi
komersil, peribadi dan mewah,” kata Syed Azman. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY