KUALA KANGSAR, NOVEMBER 11: PIALA MALAYSIA.. Kerajaan negeri mengumumkan insentif RM10,000 dan satu lot tapak rumah kepada setiap pemain dan pegawai pasukan bola sepak Perak selepas kejayaan memenangi Piala Malaysia, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata insentif itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menghargai pemain dan pegawai pasukan bola sepak yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia selepas 18 tahun.

Katanya, insentif itu tidak termasuk yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan ia adalah inisiatif kerajaan negeri.

“Selain insentif yang akan diberikan PAFA, kerajaan negeri akan menambah insentif RM10,000 setiap pemain dan satu lot tapak rumah selain daripada pingat yang diberikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam.

“Lot tapak rumah diberikan itu saya kurang pasti di mana kerana ia akan diuruskan oleh Pengarah PTG (Pejabat Tanah dan Galian).

“Insentif diberikan PAFA juga saya tidak pasti berapa kerana masalah sekarang di PAFA ini, presiden (Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim) baru sahaja meletak jawatan namun kerajaan negeri akan menyerahkan insentif itu secepat mungkin,” katanya selepas Majlis Meraikan Piala Malaysia dan Piala Razak di Dataran Pavilion di sini, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenaan meraikannya bersama pemain serta pegawai pasukan bola sepak dan hoki Perak.

Pasukan bola sepak Perak yang dikenali sebagai ‘The Bos Gaurus’ berjaya menamatkan kemarau 18 tahun dengan menumpaskan Terengganu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 27 Oktober lalu menerusi sepakan penalti 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Manakala skuad hoki Perak berjaya memenangi Piala Razak dengan menewaskan negeri yang sama iaitu Terengganu juga menerusi penentuan penalti 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga akan membincangkan insentif yang akan diberikan kepada skuad hoki Perak selepas kejayaan membawa pulang Piala Razak.

“Sebentar tadi saya dapat bisikan daripada pemain dan pegawai Piala Razak dan kita juga akan memikirkan insentif kepada mereka, saya tidak dapat membuat pengumuman hari ini kerana perkara itu masih belum dibincangkan pada Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri.

“Tentulah kita perlu berbangga dengan kejayaan skuad hoki Perak memenangi Piala Razak,” katanya.-MY WD