PUTRAJAYA, 4 Jun – Hati-Hati….  Pihak Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, rakyat Malaysia yang menetap di sekitar kawasan terjejas dinasihat supaya sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan sudah memberi maklumat terkini serta segera kepada komuniti Malaysia di sekitar London berhubung kejadian terbabit,” katanya.

Sembilan disahkan maut dalam kejadian serangan pengganas di beberapa kawasan di ibu kota itu malam tadi (waktu tempatan).

Suspek dikatakan memandu sebuah van sebelum merempuh pejalan kaki di sepanjang London Bridge sebelum menghentikan kenderaan di sebarang Sungai Thames.

Sebaik kenderaan berhenti ketiga-tiga suspek itu yang bersenjatakan pisau dilaporkan menyerang orang ramai di sepanjang jalan berhampiran pasar Borough.

Selain itu, tambah Wisma Putra, pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden terbabit.

Untuk sebarang urusan kecemasan berhubung insiden terbabit, orang ramai boleh menghubungi pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di 52 Bedford Row, London WC1R 4LR, menghubungi talian +44(0)2072424308 atau emel mwlondon.kln@1govuc.gov.my. – WD MY