KUALA LUMPUR: SAMAN…Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mendedahkan Wisma Putra kini tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk menampung kos operasi pegawai dan duta Malaysia di luar negara.

Katanya, tahun ini, Wisma Putra kekurangan peruntukan sebanyak RM133 juta sehingga terpaksa merayu kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk memberi peruntukan diperlukan.

“Walaupun sudah dimaklumkan kerajaan tidak cukup peruntukan, kami minta juga kalau boleh RM50 juta dan akhirnya Menteri Kewangan beri juga RM40 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul khas ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) pada 23 September lalu dijadikan sebagai kerangka asas dasar luar Malaysia Baharu di Dewan Rakyat, semalam.

Saifuddin menjelaskan, peruntukan itu diperlukan Wisma Putra bagi menjaga kebajikan pegawai dan wakil Malaysia di luar negara serta memastikan urusan diplomatik berjalan lancar.

“Kita ada duta yang dihantar untuk mengurus lebih satu negara. Ada duta yang menjadi duta di negara A tetapi duduk di negara B. Dia hendak terbang ke negara B, Wisma Putra minta tangguh sebab tidak ada bajet.

“Punyalah azab dan daif. Kalau hendak diikutkan, dia boleh memandu kereta tetapi kena jaga ‘standard’, takkan naik kereta sampai lapan jam. Mereka pegawai diplomatik kita, takkan daif sangat (kena memandu).

“Ada pegawai kita oleh kerana kadar siling sewa rendah, dia terpaksa duduk jauh daripada kedutaan. Ini menimbulkan masalah, iaitu menaikkan kos pengangkutan.

“Ada yang lari ke kawasan yang tidak sesuai untuk seorang pegawai diplomatik. Malah kita ada satu kes, kuarters kita di Paris rosak, bumbungnya bocor, mengganggu rumah sebelah dan pemiliknya saman kita.

“Oleh itu, saya minta Menteri Kewangan dengarlah keluhan Menteri Luar ini. Berilah bajet kepada kami,” katanya.-MY WD