KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – WUJUD…… Pihak Kerajaan akan mewujudkan tapak kekal Pasarnita di seluruh negara tahun hadapan bagi meningkatkan taraf ekonomi wanita.

Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan menjadi lokasi kedua tapak kekal Pasarnita selepas Terengganu.

“Kewujudan Pasarnita memang sudah ada di seluruh negara. Namun, ia digerakkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak mempunyai lokasi tetap.

“Jadi kita menyeru negeri lain supaya melaksanakan inisiatif sama seperti kerajaan Terengganu yang menyediakan ruang khas kepada wanita untuk berniaga di Pasarnita Tanjung ini.

“Saya juga berbangga apabila kerajaan negeri dan Persatuan Food Truck Terengganu melaksanakan inovasi dengan mewujudkan Pasarnita Food Truck di negeri ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Pasarnita Food Truck di Dataran MARA, di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, inisiatif mewujudkan ruang niaga khas untuk wanita itu memberi galakan dan hala tuju yang lebih baik dalam menentukan perancangan ekonomi yang lebih mesra wanita.

“Ini Ia juga membuktikan kuasa wanita yang boleh mencipta kejayaan setara dengan golongan lelaki.

“Kita yakin pengambilan tenaga wanita dan usaha sama diberikan pelbagai pihak mampu menjadi penyumbang kepada transformasi ekonomi yang kerajaan negeri ingin laksanakan,” katanya. – WD MY