KUALA LUMPUR, 9 Nov – RAMAH MESRA….. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mencemar duli berangkat ke Program Ramah Mesra Bersama Rakyat di Surau Jumaat Muhajirin Desa Rejang, Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak, di sini hari ini.

Seri Paduka tiba kira-kira jam 3.40 petang sambil diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Baginda turut berkenaan menyempurnakan majlis penyerahan unit rumah di bawah Program Baiti Jannati @Wilayah Persekutuan kepada 13 penerima.

Mereka sebelum ini menyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) serta Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Yang di-Pertuan Agong juga meluangkan masa bersama rakyat selain melawat salah sebuah rumah penerima bantuan serta menunaikan solat Asar di surau di kawasan perumahan berkenaan.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, semua penerima rumah adalah golongan miskin tegar berdaftar dengan sistem e-Kasih, Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya program berkenaan adalah salah satu penyelesaian dalam membantu dan menangani isu kemiskinan bandar.

“Hak milik rumah dalam program ini akan dipindahkan kepada penerima terpilih tanpa sebarang bayaran dengan syarat unit berkenaan tidak dijual kepada pihak ketiga. Ia bagaimanapun boleh diwariskan kepada anak atau waris terdekat.

“Kita tidak mahu golongan ini terpinggir dalam arus pembangunan dan pemodenan bandar,” katanya. – WD MY