KUALA LUMPUR, 14 Feb – Laksanakan….  Gelombang Kedua program membantu memperkasakan ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) kini sudah dimanfaatkan 17,000 penerima faedah dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM413 juta.

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kejayaan yang dicapai itu adalah hasil usahasama Yayasan Peneraju dengan pihak berkepentingan dan rakan kongsi strategiknya.

Beliau menyeru supaya lebih banyak agensi kerajaan, sektor korporat, institusi pendidikan mahupun individu untuk tampil ke hadapan memberi sokongan kepada Yayasan Peneraju bagi memperkasa ekonomi Bumiputera.

“Jangkamasa lima tahun berlalu cukup pantas, namun ini bukan halangan bagi Yayasan Peneraju untuk terus merealisasikan impian golongan Bumiputera yang layak daripada tercicir dalam arus perdana gelombang sosio-ekonomi yang semakin getir dan mencabar ini.

“Segala kejayaan adalah manifestasi kerjasama kukuh antara semua pihak swasta dan kerajaan dalam menjayakan usaha murni Yayasan Peneraju ini,” katanya dalam kenyataan sempena ulangtahun kelima yayasan berkenaan, di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, sejak penubuhannya pada tahun 2011, Yayasan Peneraju sudah mengorak langkah dengan mendokong aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memperkasa ekonomi Bumiputera dengan matlamat utama melahirkan lebih ramai bakat Bumiputera yang mampu menceburi bidang kerjaya berpendapatan tinggi dan berdaya saing sehingga ke peringkat global.

Katanya, bagi menjayakan matlamat itu, Yayasan Peneraju memberikan pembiayaan akademik, pensijilan vokasional dan profesional bagi menjana kebolehpasaran tenaga kerja Bumiputera dalam sektor utama dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Pada pendapat saya, Yayasan Peneraju mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak terdapat pada mana-mana yayasan seumpamanya. Peranan Yayasan Peneraju sebenarnya cukup luas dan bukan sekadar menguruskan sebuah tabung amanah.

“Penerima faedah bukan saja mendapat kemudahan biasiswa tetapi mereka juga akan dibantu oleh Yayasan Peneraju sehingga berjaya mendapat pekerjaan yang berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau menjelaskan bermula dengan program pertama iaitu Peneraju Tunas Potensi, yayasan ini telah beri kelebihan kepada 210 penerima faedah pada tahun 2012.

Kini, katanya dengan bermodalkan perbelanjaan sebanyak RM260 juta, Yayasan Peneraju telah berjaya membangunkan 12,000 bakat Bumiputera melalui 154 program, melalui program Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.

“Banyak penerima, banyak ceritanya. Ada penerima dari keluarga yang miskin dan daif hidupnya, ada juga yang tiada akses kepada pembelajaran dan ada yang tidak mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya ambil contoh cerita Allister Tik Tony, seorang anak kaum asli Penan dari Baram, Sarawak telah diberi bantuan Peneraju Tunas Geliga, dan dengan sedikit anjakan, beliau telah berjaya mendapat keputusan 9A dalam PT3 dan mendapat keputusan cemerlang dalam universiti,” katanya.

Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) inisiatif di bawah Program Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Fokus Yayasan Peneraju adalah untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan Bumiputera melalui pendidikan akademik dan juga vokasional selaras dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. – WD MY