PEKAN, 20 Jun – Penubuhan Yayasan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun
Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan dimanfaatkan bagi membantu masyarakat
pekebun kecil, keluarga kakitangan Risda dan syarikat milikannya.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
berkata yayasan itu yang mempunyai dana permulaan berjumlah RM2 juta akan
digunakan bagi bantuan dalam aktiviti pendidikan, sukan, sosial dan kebajikan.

“Yayasan ini akan menyediakan bantuan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal
dan bantuan kepada mangsa bencana serta menyokong bantuan bagi program bantu
diri dan projek untuk golongan kurang bernasib baik.

“Badan ini tambahan kepada bantuan yang diberikan Risda selepas kerajaan
meluluskan Skim Khairat Kematian Pekebun Kecil Berkelompok Risda bernilai RM5.24
juta kepada pekebun kecil,” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian
Dividen Risda 2015 di Dewan Sri Perdana, Kolej Automotif Antarabangsa di sini,
hari ini.

Penyampaian dividen berjumlah RM151.1 juta kepada 16,080 peserta Rancangan
Tanam Baru Berkelompok dan 16,158 peserta Tanam Semula Komersial itu
disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, Mohd Shafie juga memberitahu Risda akan mengambil tindakan
proaktif bagi memastikan produktiviti getah dapat ditingkatkan walaupun
mempunyai keluasan kebun yang terhad.

Ini kerana kekurangan kawasan keluasan kebun getah merupakan antara faktor
yang menyebabkan kedudukan Malaysia jatuh ke tangga keenam dalam
pengeluaran getah dunia, sedangkan negara sebelum ini ialah pengeluar getah
utama, katanya.

“Kekurangan keluasan kawasan getah disebabkan oleh pembangunan dalam sektor
lain atau pertukaran kepada sawit. Kita sedar tanah adalah terbatas di
Semenanjung, jadi Risda akan meningkatkan inisiatif menggalakkan lebih ramai
pekebun kecil di Sabah dan Sarawak menanam getah,” katanya.

Mohd Shafie berkata Risda juga menggalakkan pekebun kecil untuk
mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak hanya bergantung kepada getah atau
komponen pertanian lain seperti cili dan nanas.

“Dalam keadaan harga komoditi getah tidak menentu, kita menggalakkan pekebun
untuk terlibat dalam bidang keusahawanan peruncitan.

“Kita membina kedai sebagai galakan supaya mereka boleh menjadi peruncit di
kawasan tempat tinggal mereka, selain bekerjasama dengan MARA yang memberi
pinjaman kepada mereka yang layak,” katanya. -Sharini Abdulah

LEAVE A REPLY