KUALA LUMPUR, 26 Jun – Yayasan Pemulihan Sosial (YPS) hari ini
mengemukakan beberapa cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi kaum India di bawah Rancangan
Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pengerusi YPS, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata cadangan tersebut dalam
bentuk tiga dokumen itu telah dirumuskan sempena dua simposium kebangsaan yang
dianjurkan oleh yayasan itu pada 16 April dan 31 Mei lepas.

Ketiga-tiga dokumen itu ialah Agenda Transformasi bagi Ketahanan Komuniti
dan Perpaduan; Memastikan Pembangunan Inklusif & Saksama: Rancangan Malaysia
Kesebelas dan Masyarakat India Malaysia (2016-2020); dan Memperoleh Peluang dan
Keterlibatan: Masyarakat India Malaysia dan Rancangan Malaysia Kesebelas
(2016-2020).

“Kami mengemukakan dokumen-dokumen tersebut kepada Perdana Menteri untuk
dimasukkan ke dalam RMK-11,” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas
menemui Najib di Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Samy Vellu diiringi oleh Datuk Dr. Denison Jayasooria dari Institut Kajian
Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditauliahkan oleh YPS untuk
melaksanakan tugas menggubal strategi tindakan untuk golongan miskin masyarakat
India mendapat manfaat daripada RMK-11.

Samy Vellu, yang juga Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia
Selatan itu, berkata perdana menteri bersetuju memperuntukkan geran permulaan
untuk gabungan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai oleh YPS untuk
mengendalikan Pusat Transformasi Komuniti (CTC) di 38 daerah di sembilan buah
negeri yang mempunyai majoriti kaum India.

“Perdana Menteri telah meminta kami untuk memulakan projek perintis pertama
di salah satu daripada 38 daerah tersebut. Kami akan memulakan kerja dengan
serta-merta,” katanya.

Beliau berkata beberapa pihak akan dibawa masuk untuk membantu
mengendalikan CTC termasuk Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan untuk Kaum India
(SITF), Sekretariat bagi Memperkasakan Usahawan India (SEED) dan Unit
Pembangunan Sekolah Tamil di Jabatan Perdana Menteri.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY