PUTRAJAYA, MAC 2 – HAPUSKAN….Sesungguhnya, bukanlah suatu perkara mudah untuk memenuhi standard Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Sebagai orang yang bertanggungjawab bagi misi menghapuskan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia, sasaran Timbalan Perdana Menteri ini ternyata bukan sekadar biasa-biasa sahaja, malah kadang kala dilihat sebagai sesuatu yang hampir mustahil dicapai.

Namun demikian, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, sebenarnya adalah seorang manusia yang berpaksikan kepada kewajaran serta bersikap pragmatik dan yakin bahawa semua tugas boleh dilaksanakan atau dibereskan sekiranya seseorang itu memiliki fikiran positif, keazaman yang kental dan dedikasi mendalam.

Walaupun pencapaian dan statistik Malaysia pada 2017 dari segi membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran agak mengagumkan, ditandai dengan peningkatan ketara secara keseluruhannya, serta melakar pencapaian cemerlang berbanding pada 2015 dan 2016, namun Ahmad Zahid masih tidak berpuas hati mengenainya. Beliau ingin melihat pencapaian yang jauh lebih besar daripada itu.

Beliau juga mengharapkan lebih banyak tindakan dilaksanakan, khususnya yang bersifat agresif, agar kesengitan perang sedia ada terhadap pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia dipertingkatkan lagi oleh semua pihak berkuasa berkenaan bagi mencapai kejayaan lebih gemilang.

Ayuh kita berusaha ke arah mencapai tahap lebih gemilang,? kata beliau baru-baru ini.

Angka terbaru daripada Pejabat Strategik Kebangsaan bagi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), pengelola usaha memerangi dua jenayah itu dan agensi tunggal yang diberi tanggungjawab mengenainya, begitu mengagumkan dan menunjukkan terdapat peningkatan besar dari segi peperangan secara habis-habisan terhadap aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negara ini.

Untuk rekod, Malaysia mencatat sejumlah 100 sabitan kesalahan dalam kes berkaitan pemerdagangan orang sepanjang 2016, berbanding hanya tujuh dalam tempoh sama pada 2015.

Daripada 100 sabitan itu, 79 melibatkan pemerdagangan orang, sembilan berkaitan penyeludupan migran yang mempunyai unsur pemerdagangan orang dan 12 berkaitan pemerdagangan orang.

Sejumlah 326 kertas siasatan dibuka berkaitan kes itu, dengan 414 pertuduhan difailkan di mahkamah, hasil daripada 679 tangkapan yang dibuat.

Dari Januari hingga Disember 2017, 282 kes dibawa ke mahkamah berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, manakala daripada jumlah itu, 58 sabitan kesalahan direkodkan bagi pemerdagangan orang dan 75 kes berkaitan kedua-dua kesalahan itu, yang menjadikan keseluruhan 133 kes setakat ini.

Kerajaan Malaysia juga memohon kepada Kerajaan Thailand supaya menghantar pulang 10 suspek, yang dipercayai terlibat dengan kesalahan pemerdagangan orang di sepanjang kawasan sempadan bersama.

Kes melibatkan pelaku terdiri daripada rakyat Malaysia dan warga asing ini dikendalikan mengikut undang-undang sedia ada berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, yang dipinda sepanjang beberapa tahun lepas, bagi memberi lebih banyak kuasa kepada agensi penguatkuasaan, dengan tujuan memerangi dan menghapuskan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, yang sebahagian besarnya bersifat rentas sempadan.

Kawasan sempadan antara Malaysia dan Thailand serta Indonesia begitu terdedah kepada jenayah jenis itu, di mana mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita serta pelbagai peringkat usia, sebahagian besarnya dipindah secara haram melalui sempadan oleh sindiket tempatan dan asing, yang bekerjasama dalam melakukan jenayah keji itu.

Kuala Lumpur mencatat lonjakan kejayaan dalam usaha memerangi pemerdagangan orang dan penyeludupan jika dilihat dari segi kes yang ditangani agensi penguatkuasaan dalam tempoh 12 bulan berkenaan, sekali gus membawa kepada beberapa sabitan kesalahan berhubung jenayah itu.

Ternyata, ia merupakan kejayaan yang jauh lebih besar daripada tahun sebelumnya.

Pencapaian tersebut sungguh mengagumkan serta mencerminkan dedikasi dan kesungguhan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menghapuskan aktiviti yang sering disifatkan sebagai perniagaan lumayan di dunia sebelah sini.

Semasa mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi Pejabat Strategik Kebangsaan bagi Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata: “Ya, banyak yang telah kami capai dalam tempoh 12 bulan lepas, tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan, kerana penjenayah tidak akan berhenti. Oleh kerana mereka tidak pernah berhenti, kami juga tidak akan berhenti.”

“Peningkatan kita ke Tahap 2 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat amat dialu-alukan dan merupakan suatu pengiktirafan besar terhadap usaha kami secara menyeluruh dan berterusan, namun demikian, ia tidak akan sekali-kali menghentikan atau mengurangkan kesungguhan kami.

“Malah, kami menjadi sungguh bersemangat serta berazam untuk mencapai yang lebih baik?mungkin kini melangkah ke Tahap 1,” kata beliau, sambil menjelaskan bahawa kini, Kuala Lumpur bercita-cita untuk menduduki Tahap 1 dalam Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) Amerika Syarikat (Amerika) yang disediakan Jabatan Negara Amerika.

Sebelum dinaikkan ke Tahap 2, kedudukan Malaysia dalam Laporan TIP Amerika boleh dikatakan sederhana sahaja.

Pada 2001, apabila Laporan TIP Amerika mula dilaksanakan, Malaysia menduduki Tahap 3 dan dinaikkan ke Tahap 2 setahun kemudian dan kekal di tahap itu selama tiga tahun.

Pada 2006, Malaysia menurun ke Tahap 2 Senarai Pengawasan dan seterusnya jatuh ke Tahap 3 pada 2007. Pada 2008, negara ini kembali menduduki Tahap 2 Senarai Pengawasan dan seterusnya jatuh sekali lagi ke Tahap 3 pada 2009.

Antara 2010 dan 2013, Malaysia kembali menduduki Tahap 2 Senarai Pengawasan dan jatuh ke Tahap 3 pada 2014.

Kejayaan Kuala Lumpur meningkat ke Tahap 2 Senarai Pengawasan bermula pada 2015 dan 2016, sehinggalah akhirnya naik ke Tahap 2 pada 2017.

Hasil daripada komitmen teguh Ahmad Zahid serta peningkatan kerjasama daripada anggota Pejabat Strategik Kebangsaan bagi Majlis ATIPSOM dalam menggiatkan lagi usaha memerangi pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, peningkatan Malaysia baru-baru ini daripada Tahap 2 Senarai Pengawasan kepada Tahap 2 itu, merupakan pencapaian terbaik negara ini sejak pindaan dilakukan terhadap Akta ATIPSOM 2007 pada 2015.

Komitmen dan kesungguhan KDN sepanjang tahun berkenaan serta tahun-tahun sebelumnya adalah amat ketara, manakala statistik terbaru pula menjadi bukti tentang kesungguhan, keazaman dan kejayaan besar yang dicapainya, sekali gus mewajarkan Malaysia diberi pengiktiarafan setimpal.

Memetik kata-kata Ahmad Zahid: “Kami amat serius dengan komitmen kami; kami tidak pernah menyimpang, baik dari segi format atau pengisiannya. Statistik kami menjadi bukti tentang kesungguhan kami itu”.

Bagaimanapun, bukan sekali dua beliau bersungut tentang pengktirafan yang sepatutnya diberi kepada Malaysia dari segi kejayaannya dalam peperangan menentang pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Sebenarnya, sudah banyak kali beliau mempersoalkan kenapa Malaysia, sebuah negara yang dianggap pemurah dan dibanjiri migran, hanya diberi kedudukan Tahap 2 dalam Senarai Pengawasan, sedangkan ada negara sumber tertentu, yang merupakan negara asal migran, diberi kedudukan lebih tinggi iaitu Tahap 2. – MY WD