TELUK INTAN, 18 FEB – BAYANGAN PRU-14…. Bayangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dijangka diadakan sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bayangan PRU-14 ini disampaikan ketika beliau menyampaikan ucapan pada Program Semarak Mahabbah di Sekolah Menengah Agama Maahad Al- Islah, Sungai Manik di sini, hari ini.

Zahid turut memberitahu pada ucapannya, akan ada satu ‘perayaan besar’ akan diadakan sebelum Aidilfitri nanti.

“Kita ada tiga raya, raya Cina baru lepas, kita ada raya haji, sebelum raya haji kita ada raya puasa tapi sebelum raya puasa kita ada satu lagi raya besar,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri menasihatkan kepada seluruh umat Islam di negara ini supaya mengenetepikan perbezaan politik sebaliknya menjadikan ajaran Islam sebagai pegangan utama demi kekuatan ummah.

Katanya, kesepakatan yang dipupuk oleh umat Islam harus mencari titik noktah dalam perbezaan dan pendirian politik bagi memastikan kesepaduan ummah terpelihara.

“Atas nama agama, kita harus memberikan noktah serta meletakkan titik kepada perbezaan minda, pemikiran dan sikap demi agama sekali gus menjadi acuan kekuatan ummah.

“Kesepaduan pemikiran daripada segi nurani juga akan menjadi kekuatan umat Islam dalam memartabatkan ummah,” katanya.

Ketika itu, Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan sebanyak RM680,000 bagi penambahbaikan infrastruktur di sekolah berkenaan.

Katanya, peruntukan itu membabitkan sebanyak RM280,000 untuk pemasangan pili bomba serta tangki air, RM300,000 untuk pembinaan gelanggang futsal berbumbung dan RM100,000 untuk membaikpulih dewan sedia ada – MY WD